Kegelapan yang lalu
Saturday, October 11, 2008 @ 5:14 PM
Aku ingin berkongsi secebis pengalaman yang mengelirukan yang pernah aku lalui selama beberapa tahun sewaktu proses mencari pencerahan diri. Bermula pada sekitar awal 20-an umur aku, di kala darah muda yang gedik itu betul-betul kepingin berkuasa dan menjadi raja di mata sebaya aku yang lain. Aku menjadi sebahagian daripada “Garis 3” atau lebih dikenali sehingga hari ini dengan nama Tiga Line, Merah, Aman Sejagat, 360, Sak Pak Lok, Anak Burung Hantu dan sebagainya.


Melalui seorang rakan (kini pegawai tinggi polis), aku diracun dengan dakyah bahawa kuasa milik kita bila bersatu di bawah panji Merah dan dengan lafaz syahadah dengan junjungan Quran beserta 2 saksi yang memegang pedang di leher, aku dibi’ah di hadapan “Ayah” atau Pak Long B*r*ng (arwah) dan pada ketika aku aku bersumpah dengan nama Allah s.w.t aku bersedia berkorban untuk ‘adik-beradik’ dan dipimpin di bawah telunjuk ‘abang’.


“Abang” aku bukan calang. Di bawah pengaruhnya sendiri, suatu keluarga baru dibentuk iaitu keluarga “Harimau” atau disebut “Boon” dan ‘abang’ aku itu mestilah dengan nama yang hebat juga, digeruni dan berkuasa … “Boon L*ng” (Naga Harimau/Harimau Sulung/ Abang Harimau) anak kepada Ang B*ng H*i (satu lagi nama “ayah”). Di bawah keluarga Boon, aku mesti ada nama sendiri yang bermula dengan Boon juga. Di dalam keluarga aku, ada dikenali Boon Lo Fu, Boon Wu Kong, Boon Thien Lei dll.


Jangan tertawa dulu. Se-gah kisah ini, memang sepadan dengan realitinya. Seperti dalam filem, perhubungan gerakan bawah tanah (kongsi gelap) memang ternyata hebat. Di tokong Wingki di negeri Pulau Pinang, pernah beberapa kali diadakan perjumpaan dengan kongsi gelap Thailand, China (360 International), Ireland, England, Jepun (Yakuza – memang benar wujud), Hong Kong, Singapore (Sang Kong Sa) dan banyak lagi. Sebagai “tuan rumah” perhimpunan, seorang pembuka majlis akan memainkan “buah majlis” dengan kemas dan teliti serta bersedia menerima cabaran dari mana mana persatuan lain untuk menjaga maruah. Ya hebat! Ini bukan filem tetapi realiti yang pernah aku lalui dan menjadi saksi.


“Buah” atau isyarat Kongsi Gelap terdapat beratus jenis mengikut “keluarga” masing-masing tetapi kebanyakannya adalah standard dan diguna oleh mana mana kongsi antarabangsa dan pastinya aku tidak hafal semua. Setiap nombor juga ada maksud dan nombor paling digeruni adalah no. 7 kerana bermaksud “maut”.


Di dalam kumpulan kongsi gelap ini juga, jurang kematangan amat ketara. Yang muda atau tua tetapi perangai macam kanak-kanak itu seperti perkara biasa. Kumpulan jenis ini kerjanya cari gaduh, pukul orang, pow orang, berebut awek orang … haduh nak cerita lebih lanjut pun malu sebab sungguh kebudak-budakkan. Golongan semacam ini ramai di Malaysia. Tetapi bagi golongan yang matang, berprinsip, digeruni dan disegani juga ramai. Golongan ini lebih kepada perniagaan. Ada yang halal ada yang tidak halal. Yang tidak halal itu seperti dadah, pelacuran, jual perempuan, rompak kedai dan janganlah terkejut kerana Geng Mamak itu pernah dibekalkan dengan senjata api oleh Brother Gun (Abang Gh*n*) yang juga merupakan pecahan kepada 3Line setelah kematian ‘ayah’ … yang juga pengasas kepada kumpulan Double Seven (77) tetapi kini ditahan di Simpang Renggam.


Jangan ingat kongsi gelap ini hanya melibatkan golongan terbiar, rosak akhlak dan sebagainya. Kongsi gelap sungguh universal, bermula dari remaja sekolah, sehingga kepada golongan professional termasuk ahli politik, doktor, peniaga, peguam, pelakon, penyanyi dan ramai lagi. Kalau diikutkan tahap senioriti pada hari ini, di bawah aku terdapat menteri yang terlibat dalam kumpulan ini. Artis seperti A**e, Ros**m N**, T** P*at, Ad*m juga terlibat sama ada untuk mendapatkan perlindungan atau mendapatkan pengaruh.


Kenapa aku tinggalkan kumpulan ini? Maaflah sekali terjebak memang tiada lagi undur. Jangan pernah berani menyuarakan hasrat “aku mahu keluar” kerana jawapannya sama ada dengan pedang, parang, hilang jari, atau dibelasah separuh mati. Jadi apa yang aku boleh buat adalah bersikap berdiam diri atau tidak aktif dan juga disebut sebagai “tidur” di kalangan ahli atas dasar aku tidak mampu memberi komitmen lagi. Sekali aku tidur aku tidak boleh meminta ‘adik-beradik’ membantu aku dan pada masa yang sama aku tidak boleh khianat mana mana ahli ‘keluarga’ yang lain.


Aku mula tawar hati dengan ‘keluarga’ ini adalah kerana sikap tidak matang kebanyakan ‘adik-beradik’ yang lebih terjurus kepada pergaduhan kerana wanita, kerana rebut kawasan dan salah laku remeh yang lain. Aku sendiri beberapa kali pernah “berperang” dengan kumpulan lain. Parang, Stereng lock, meja, kerusi, batu, gitar, botol Coke, beer atau sos, semua sudah biasa menjadi alat didalam ‘peperangan’ terutamanya di dalam perang tidak dijangka. Hasil yang aku dapat hanyalah rugi dan rugi! … mana pernah aku untung. Alih-alih kena bayar duit ubat dan paling aku rasa marah bila kereta aku pecah diserang aku rugi lagi. Ya memang mengikut sumpah dan janji setiap ‘adik-beradik’ itu akan membantu di dalam susah senang. Ptuih! Cakap aja apa pun tarak! Ada la setakat bayar sorang 10 ringgit 2 ringgit paling banyak pun ‘abang’ bagi 100 ringgit … kereta pecah nak ganti tingkap nak ketuk pintu yg kemek nak cat balik lebih kurang RM1000 … mana cukup! Bila mintak jawapan standard yang aku dapat… “tada duit sekarang”.


Apa yang aku boleh banggakan setakat ini hanyalah panggilan “abang” dari ratusan budak budak yang baru direkruit. Itu sahaja. Aku memang melanggar sumpah junjungan Quran. Bagi aku, kenapa wajib aku membantu seseorang yang salah walaupun aku telah berbai’ah? Sumpah bai’ah aku itu tidak pernah sah! Apa guna aku dianugerahkan akal yang kini mampu membezakan baik buruk sesuatu langkah. Disinilah aku terjumpa pencerahan. Aku juga nampak kesimpulan iaitu kuasa membuatkan sesuatu yang baik terjurus kepada kegagalan dan kehancuran. Aku menilai sedemikian kerana aku akui apa yang arwah “ayah” pesan itu memang benar. Semua tidak melanggar hukum Islam tetapi bila kuasa itu sampai kepada pihak di bawah dan tidak dipantau terus menjadi disebaliknya dan membawa kepada kehancuran, maksiat dan kegagalan.


Sehingga hari ini aku rasa berdosa kerana aku pernah membawa ramai budak ke dalam ‘keluarga’ dan kini aku tidak mampu mengeluarkan mereka. Ada di antara mereka yang mengharapkan perlindungan dari aku, bantuan dari aku dan ada yang manja … yang suka mengadu dengan aku. Ya itu sepatutnya tanggungjawab aku tetapi mereka juga harus sedar apabila sudah mencapai akil baligh itu, telah sempurnalah akal meraka dan harus menilai dengan teliti mana buruk dan baik bagi sesuatu perkara.


Masalah kongsi gelap atau gangsterism ini bukan baru tetapi bermula sejak era sebelum merdeka lagi. Masih ingat Gee Hin dan Hai San di dalam buku sejarah sekolah? Long Jaafar malahan P Ramlee juga sebahagian dari kumpulan ini. Hanya yang tahu akan faham akan isyarat rahsia di dalam setiap filem arahan seniman agung tersebut. Terlampau panjang untuk aku ceritakan semua. Cukuplah sekadar menceritakan pengalaman aku di dalam kegelapan yang lalu.


*kaki capek timpa loceng, muka hijau hati merah

12 commented
comment?